Semua pihak perlu menghentikan polemik politik pasca pilihan raya umum yang dilihat boleh menggagalkan usaha ke arah pembangunan negara, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan
Katanya, rakyat telah pun membuat pilihan dan memberi mandat kepada calon atau parti pilihan mereka sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan dan seharusnya tidak timbul lagi soal ketidakpuasan hati oleh mana-mana pihak.
"Kita mesti akur keputusan rakyat, menang atau kalah itu adat dalam pertandingan dan jangan pula kita tidak dapat mengakui hakikat bahawa kita kalah dan masih mempersoalkan (keputusan rakyat).
"Sepatutnya sekarang ini rakyat sudah bagi mandat dan kita tubuhkan kerajaan dan kita lupakan soal pilihan raya ini. Cukuplah sudah kita berpolitik satu tahun, dua tahun sehingga tidak boleh buat perkara lain," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pameran Pendidikan sempena sambutan Hari Guru di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi (KLIK) di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai ketidakpuasan hati pihak pembangkang terhadap keputusan PRU 5 Mei lalu.
Katanya, sikap pembangkang yang tidak mahu mengakui kekalahan mereka dan mengajak rakyat turut serta sebenarnya membawa negara terus terperangkap dalam polimik berterusan yang tidak membawa apa-apa kebaikan kepada negara.
Sebaliknya, Mohamad berkata, apa yang harus ditumpukan ketika ini adalah mencari jalan meningkatkan ekonomi negara dan menarik kedatangan pelabur bagi mendepani krisis ekonomi dunia yang tidak menentu. - BERNAMA