Wednesday 23 January 2013

Dalang pembangkang dalam kerajaan diawasi - MB NS


SEREMBAN - Penyokong pembangkang yang bergerak secara senyap di dalam jabatan kerajaan untuk mendapatkan rahsia, dinasihatkan agar segera menghentikan perbuatan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mendedahkan perkara itu berkata, individu terbabit harus sedar bahawa perbuatan mereka melibatkan soal maruah dan integriti kerana telah membelakangkan taat setia kepada kerajaan.

"Ini bukan soal mereka tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan ataupun mereka ini dikategorikan sebagai pengundi senyap. Tetapi mereka ini memang secara terang-terangan penyokong tegar pembangkang dalam agensi kerajaan.

"Walaupun perkara ini melibatkan soal demokrasi dan mereka boleh berbuat apa sahaja, tetapi mereka perlu ingat jangan sampai tertangkap dan didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Negeri dekat sini hari ini.

Mohamad turut mendedahkan ada kalangan penyokong tegar pembangkang dilihat amat baik ketika berada di dalam kerajaan tetapi menyimpan dendam sebaik sahaja bersara dengan menyerlahkan taring dalam parti pembangkang.

"Mereka adalah kumpulan minoriti, tetapi tindak tanduk mereka boleh mengancam keselamatan, lebih-lebih lagi soal berkaitan rahsia kerajaan," katanya.

Beliau turut menyelar segelintir pegawai tinggi pihak berkuasa tempatan di negeri ini yang pernah menjawat jawatan tinggi tetapi kini bersikap seperti gunting dalam lipatan.

"Golongan sebegini tidak tahu bersyukur dan mereka yang bersikap sebegini merupakan individu yang ada kepentingan," tegasnya.

Tegas Mohamad, apa yang berlaku adalah amat serius dan semua kakitangan kerajaan dinasihatkan tidak melanggari taat setia mereka.

Sumber © Utusan Melayu (M) Bhd

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

 
Powered by Blogger