Tuesday, 14 August 2012

HUDUD: Video pengakuan PAS, Karpal arah tutup mulut.

Pimpinan PAS diarah tutup mulut daripada memberikan sebarang komen berhubung isu hukum hudud kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Mazlan Aliman.

Katanya perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bulanan PAS Pusat yang diadakan di ibu negara semalam. Turut diputuskan hanya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang boleh menjawab isu hudud tersebut.



Kita sudah buat keputusan di peringkat parti, hari ini kita sudah putuskan, isu-isu berkaitan hudud, akan dijawab oleh Datuk Seri Presiden. Presiden yang akan jawab,” katanya dalam temubual khas bersama Antarapos.

Pengerusi kebangsaan DAP Karpal Singh seperti dilaporkan Malaysiakini berkata pimpinan PAS sewajarnya tidak membangkitkan isu hudud yang didakwanya bercanggah dengan undang-undang dan perlembagaan persekutuan.

Karpal berkata beliau tidak menyerang PAS, sebaliknya menjawab berdasarkan keperluan, “seperti apa yang mereka katakan mesti diberikan jawapan balas.”

Menurutnya, jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Putrajaya dan PAS masih terus mendesak untuk melaksanakan undang-undang hudud, Karpal berkata “pendirian DAP mengenai perkara itu adalah konsisten dan kami sangat jelas mengenainya”.

“Kami akan mengambil mereka (PAS) demi kepentingan negara,” katanya.

Karpal berkata walaupun PR menang dengan majoriti dua pertiga, namun tidak ada pihak yang boleh mengisytiharkan negara ini sebagai sebuah negara Islam.

Katanya, pendiriannya itu tidak pernah berubah sejak sekian lama malah akan terus mempertahankan pegangan tersebut.

Semalam, Berita Harian melaporkan Karpal meminta Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas ‘menyekolahkan semula’ kepada pemimpin PAS mengenai isu negara Islam dan menjelaskan kepada mereka mengapa hukum hudud tidak boleh dilaksanakan di negara ini.

Katanya Salleh sepatutnya memberikan penerangan itu kerana dia adalah individu yang mengeluarkan keputusan bersejarah pada 1988 bahawa Malaysia negara sekular.

Karpal berkata, dia kesal kerana isu negara Islam dibangkitkan ketika ini dengan PAS terus mendakwa akan terus memperjuangkan agenda berkenaan. Katanya, kenyataan itu terus dikeluarkan walaupun Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah menyatakan PAS tidak lagi memperjuangkan negara Islam, sebaliknya negara berkebajikan.

“Pendirian yang diambil PAS bukan saja tidak mematuhi Perlembagaan, tetapi juga melanggar keputusan Mahkamah Agung yang diputuskan Salleh, yang kini ahli PAS,” katanya.

Kenyataan Karpal berkenaan Malaysia Negara Sekular itu disanggah oleh Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang meminta Pengerusi DAP membuktikan bahawa terdapat perkataan sekular di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusinya Aminuddin Yahaya berkata Karpal membuat kenyataan yang mengelirukan rakyat Malaysia dengan mengatakan Tun Salleh Abas memutuskan Malaysia adalah negara sekular dalam kes Che’ Omar Che’ Soh.

Sedangkan, katanya, Salleh dalam kes tersebut hanya berpendapat undang-undang yang dilaksanakan di negara ini pada waktu itu (1988) adalah undang-undang sekular.

“Sedangkan pada hakikatnya Tun Salleh dalam kes tersebut hanya berpendapat undang-undang yang dilaksanakan negara ini pada waktu itu, tahun 1988, adalah undang-undang sekular. Tun Salleh tidak sama sekali memutuskan Malaysia Negara Sekular,” katanya selepas sidang media di pejabat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), semalam.

Menurut PEMBELA tindakan Karpal mengistytihar Malaysia Negara Sekular untuk menjustifikasi tuntutan hak kebebasan dari pengaruh kawalan prinsip Islam termasuk hak orientasi seks, hak kebebasan menghina agama Islam, hak kebebasan untuk murtad, hak kebebasan seks, hak kebebasan untuk menyelewengkan agama Islam dan hak untuk bebas dari pengaruh Syariah.

Sedangkan menurut PEMBELA, Perlembagaan Persekutuan Islam dalam Perkara 3 Fasal (1) memartabatkan – Islam is the religion of the Federation iaitu ‘Agama Negara’, bukan sekadar Agama Rasmi untuk tujuan upacara (ceremonial purposes) sahaja.

“Perlembagaan Perseketuan mewajibkan Pemerintah dan rakyat keseluruhannya memelihara kesucian dan kedaulatan Agama Islam – melalui Perkara 37 – dengan mewajibkan Ketua Utama Negara- Yang di-Pertuan Agong untuk bersumpah atas nama suci Allah bagi memelihara agama Islam pada semua masa.

“Semua cabang Pemerintahan Negara – Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman terikat dengan sumpah Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan kesucian dan kedaulatan Agama Islam setiap masa,”katanya.

Hadir sama dalam sidang media PEMBELA itu adalah Presiden ISMA Abdullah Zaik Abd Rahman; Presiden Pertubuhan Muafakat Ismail Mina; Naib Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Azril Mohd Amin dan Timbalan Presiden JATI Datuk Aidit Ghazali.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

 
Powered by Blogger