Tuesday, 26 March 2013

DUN Negeri Sembilan tamat secara automatik tengah malam Rabu


SEREMBAN: Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai sehingga tengah malam Rabu esok sekiranya beliau mahu menyeru pilihan raya umum ke-13 sebelum penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pertama tamat.

Sama ada beliau akan berusaha untuk membubarkan Dewan Rakyat sebelum itu adalah persoalan lain walaupun pemerhati percaya beliau akan berbuat demikian.
DUN Negeri Sembilan akan tamat secara automatik pada tengah malam Rabu akan menjadi perundangan yang pertama di negara ini melengkapkan tempoh penggalnya selepas pilihan raya umum 2008.

Seramai 36 ahli DUN (ADUN) mengangkat sumpah pada 27 Mac 2008, dan memulakan sesi pertama pada 25 April 2008.

Menurut Seksyen 56 (3) Undang-undang Perlembagaan Negeri Sembilan 1959, DUN itu kecuali ia dibubarkan terlebih dahulu, akan berterusan selama lima tahun dari hari pertama sesinya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata: "Menurut Tafsiran Akta 1948 dan 1967, tempoh lima tahun tidak termasuk hari mengangkat sumpah. Jadi, jika Perdana Menteri tidak membubarkan Dewan Rakyat terlebih dahulu, DUN Negeri Sembilan secara automatik akan dibubarkan pada tengah malam Rabu."

Selepas pembubaran itu, katanya, para Exco akan berfungsi sebagai kerajaan negeri sementara.

"Saya akan terus menjadi Menteri Besar dan bersama-sama dengan anggota Exco saya, kita akan melihat pengendalian kerajaan negeri dari hari ke hari," kata Mohamad pada Isnin.

Bagaimanapun, ADUN tidak lagi menjadi Yang Berhormat.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan sementara tidak akan memperkenalkan dasar-dasar baru atau perundangan.

Beliau berkata, tidak ada keperluan untuk mendapatkan persetujuan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz mengenai pembubaran itu kerana lima tahun tempoh telah tamat.

Dalam pilihan raya lalu, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 36 kerusi DUN dan lima daripada lapan kerusi Parlimen.

Sumber: mStar

2 comments:

  1. Waghih,
    mohon manyambuong kasih sapanjang alam, yo. blog waghih alah singgah di bloglist kami. hehehehe

    Ex-SMDKP Facebookers BnG

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ok, samo-samo kasih lah kito yo. Salam perjuangan dari sey...

      Delete

My Blog List

 
Powered by Blogger