Thursday 26 July 2012

Parlimen dibubar Okt, PRU13 Nov?

Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan bergantung kepada prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam melaksanakan janji-janjinya kepada rakyat, demikian menurut seorang ahli akademik.

Pengerusi Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Fuad Mohd Jali berkata, Perdana Menteri mahu rakyat menikmati hasil transformasi yang dilaksanakan kerajaan.

"Saya rasa Perdana Menteri mahu pastikan Barisan Nasional (BN) menang dua pertiga majoriti. Beliau juga nak pastikan apa jua janji seperti turun padang dan bertemu rakyat dilaksanakan, sekarang pun kita dah rasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab pada Perbincangan Meja Bulat PRU13: Malaysia Pilih Siapa anjuran Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN) di sini hari ini.

Dr Fuad berkata, beliau menjangkakan PRU-13 mungkin diadakan pada November atau pun selepas Tahun Baru Cina tahun depan.

"Bajet akan dibentang pada September dan ia mungkin satu pengumuman yang terbaik untuk rakyat. Jadi kemungkinan Parlimen akan dibubar pada Oktober dan pilihan raya diadakan pada November," katanya.

Menjawab soalan sama ada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai impak pada PRU13, Dr Fuad berkata, ciri-ciri seorang calon yang diperlukan mestilah tidak korup, mempunyai personaliti yang baik dan bermoral.

"Ciri-ciri ini memainkan peranan tetapi ia bergantung kepada individu melihat setakat mana kriteria yang dikehendaki sebagai seorang calon dipenuhi
oleh calon tersebut, rakyat boleh berfikir," katanya.

Prof Madya Dr Rohana Yusof dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, kajian menunjukkan bahawa 70 peratus daripada 10,800 responden di Kedah tidak mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan Anwar.

"Mereka lebih mementingkan hal-hal yang membawa erti serta masa depan kepada mereka berbanding isu-isu yang dibangkitkan Anwar yang dianggap sudah basi dan dibuat-buat, tiada impak lagi setakat ini," katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

 
Powered by Blogger